Skymind Buka Peluang Pekerjaan Dalam Bidang AI

Skymind Buka Peluang Pekerjaan Dalam Bidang AI

Skymind dikenali sebagai pembina ekosistem AI khas pertama di dunia dengan suntikan dana sebanyak AS$800 juta bagi membangunkan inovasi AI di seluruh dunia. – Sharifah Nur Izma,  Naib Presiden Pembangunan Bakat Skymind

SKYMIND Holdings Berhad (Skymind) kini giat membangunkan Kumpulan Kecerdasan Buatan Impian (Dream Artificial Intelligence (AI) Team) mereka dan membuka peluang pekerjaan kepada mereka yang berbakat dalam bidang berkenaan.

Naib Presiden Pembangunan Bakatnya, Sharifah Nur Izma berkata, Skymind kini menawarkan 300 pekerjaan yang merangkumi jurukod, pembangun dan jurutera perisian.

“Kami mempunyai capaian global dengan operasi di beberapa di Eropah dan Asia. Selain itu, syarikat telah melantik mantan ketua pegawai eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Datuk Yasmin Mahmood sebagai salah seorang perunding strategi,” katanya.

Menurutnya, Skymind dikenali sebagai pembina ekosistem AI khas pertama di dunia dengan suntikan dana sebanyak AS$800 juta bagi membangunkan inovasi AI di seluruh dunia.

“Bakat-bakat tempatan Malaysia memiliki semua kelebihan rangkaian kebudayaan yang luas, kefasihan berbahasa Inggeris, kreativiti dan peningkatan minat dalam kemahiran digital.

“Apabila dipadankan dengan minat untuk penyelesaian masalah, sudah tentu tiada had untuk kemungkinan masa depan dalam AI.

“Industri AI sedang berkembang pesat dan mengikut jangkaan kami, ia akan mencecah AS$2.9 trilion secara global menjelang tahun 2021, dan AS$15 trilion menjelang 2030,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, salah satu pelanggan Skymind adalah kumpulan insurans tempatan yang menginovasikan teknologi AI bagi mempercepatkan produktiviti di samping meningkatkan ketepatan pakej polisi insuransnya.

“Malah, dalam usaha membantu negara menangani pandemik Covid-19, Skymind turut menyumbang sistem Axial berteraskan AI ke Hospital Tunku Azizah, Kuala Lumpur.

“Sistem Axial AI dibangunkan untuk kegunaan doktor dan pekerja klinik yang bekerja dengan data pesakit serta memiliki pemahaman kontekstual,” katanya.

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.skymind.global atau e-mel kepada [email protected].

Sumber : HMetro